Dec 22, 2024 - FASSelangor FC meneruskan perjuangan dalam saingan MFL Challenge Cup 2024/25 pusingan Suku Akhir kedua menentang Kelantan Darul Naim (KDN) pada jam 9 malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
MFL Challenge Cup 2024/25 bagi pusingan Suku Akhir, Separuh Akhir dan Perlawanan Akhir musim ini akan dimainkan secara timbal balik. Selangor FC dijadualkan bertemu KDN FC bagi pusingan Suku Akhir, 12 Disember, bagi perlawanan Away dan hari ini, 22 Disember untuk perlawanan Home.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, beliau mahu teruskan momentum kemenangan bagi perlawanan terakhir bagi bulan Disember ini. Beliau akan menurunkan pemain yang terbaik bagi memberi saingan yang baik kepada pihak lawan dan yakin pemain akan berusaha keras bagi mendapatkan kemenangan pada malam ini.
Bagi keberadaan pemain, Noor Al-Rawabdeh mengalami kecederaan Ligamen Krusiat Anterior (ACL), Nikola Jambor pula sedang menjalani sesi pemulihan untuk kecederaan hamstring dan Ali Olwan pula dalam sesi pemulihan daripada pembedahan appendiks. Selain itu, Safuwan Baharudin kini berada di Singapura bersama skuad Kebangsaannya bagi menghadapi Separuh Akhir Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024. Selain daripada mereka, pemain-pemain lain sedia untuk diturunkan untuk perlawanan malam ini.
Pihak pengurusan Selangor FC akan sentiasa berada di belakang pasukan dan yakin para pemain akan terus kekalkan momentum kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!